Dia merupakan insan yang tak pernah aku lupakan sejak 3 tahun lalu. Biar apa sekali pun yang aku cuba lakukan dia pasti tetap berada difikiranku. Mungkin kerana aku terlalu berharap, namun aku serahkan semuanya kepada takdir yang Maha Esa.
Aku mula mengenalinya pada pertengahan tahun 2007. Kami mula berkenalan di Myspace sebagai kawan. Dalam tempoh beberapa bulan kami berkawan dan hanya berhubung melalui Myspace, kami masih jarang berbual. Mungkin waktu kami 'online' tidak sama. Lagipun kami masing-masing sedang sibuk membuat persiapan bagi menduduki PMR pada tahun itu.
Selesai sahaja PMR, kami terus berkawan di Myspace. Pada 12 Januari 2008, kami telah ditakdirkan terserempak di sebuah pasaraya. Aku mulanya kurang pasti bahawa itulah 'si dia' namun setelah aku pasti secara spontan aku melangkah masuk ke sebuah kedai untuk bersembunyi (kononnya..hehe). Mungkin kerana malu, segan, terkejut, teruja..hmm entah la. Aku keluar setelah pasti dia sudah berlalu dari situ. Sekali lagi kami terserempak di kedai buku selepas itu. Dia merenungku. Oh ya. Aku bersama seseorang yang aku gelar 'sahabat' ketika itu. Abang 'si dia' ni ada 'something' kot dengan 'sahabat' aku ni masa tu. Renungan 'si dia' memberi seribu erti kepadaku. Setelah 'si dia' pulang, kami (aku dan sahabat) terus ke Mcd yang berada didalam pasaraya tersebut, sekadar berbual meluahkan perasaan yang masih lagi tidak menyangka apa yang baru sahaja berlaku hari itu. Tanpa diduga airmataku mengalir. Kenapa? Aku pun kurang pasti. Kami pulang ke rumah masing-masing selepas itu.
Malamnya pula, ketika aku sedang asyik ber'online' di Myspace, tiba-tiba masuk satu 'comment' daripada 'si dia' yang berbunyi 'awak ok? saya dengar awak nangis tadi? sebab saya ke?'. Aku tersentak dengan persoalannya. Mana dia tahu aku nangis? Pasti si 'sahabat' yang memberitahu. Agak lama kami berbalas 'comment' disitu. Diakhir perbualan, 'si dia' meminta nombor telefonku. Alangkah gembiranya hati ketika itu. Sebaik sahaja nombor tersebut aku hantar ke 'inbox' nya, handphone aku berbunyi menandakan ada mesej baru 'menerjah' masuk..huhu. Sah! Mesej daripada 'si dia', kononnya memberitahu yang dia sudah 'offline' Myspace. Cuma satu mesej untuk malam itu.
Keesokkan harinya, kami mula berbalas mesej. Sehingga lebih kurang seminggu, iaitu pada 21 Januari 2008, pada pukul 1.08 pagi, kami telah pun 'declare' sebagai 'couple'. Dia kata,"Mulai sekarang, saya milik awak, dan awak milik saya". Malam itu aku tidur dengan bahagia sekali. Paginya, sebaik sahaja terbangun dari tidur yang indah itu, untuk ke sekolah, aku menerima mesej daripadanya,"Lena tidur semalam sayang?". Wah! Macam tahu-tahu je. Aku ke sekolah dengan hati yang sangat tenang dan ceria. Pulang je ke rumah, kewajipan aku yang utama ialah 'mengejar' handphoneku kerana rindu la katakan. Hari-hari ku berlalu dengan begitu indah bersamanya. Setelah hampir 2 bulan kami bersama, aku mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila seorang perempuan menggunakan gambar 'si dia' dibahagian 'about me' di Myspace. Aku mula menaruh syak. Aku terus bertanya kepada perempuan itu,"Apa hubungan you dengan 'dia'?". Perempuan itu menjawab,"My boyf..". Berderau darahku membaca pernyataannya itu. Aku segera menaip mesej kepada 'si dia' untuk mendapat penjelasan daripadanya. Aku meminta dia memilih antara aku dan perempuan itu dan dia memilih aku. Kononnya dia tidak lagi berhubung dengan perempuan itu. Seminggu kemudian aku terbaca 'comment'nya bersama perempuan itu. Ada perkataan 'baby' disitu. Betapa kecewanya hatiku saat itu. Kami bertengkar sepanjang malam, sedang esoknya kami sudah berjanji untuk berjumpa. Aku sedih dengan sikapnya. Teramat sedih. Sanggup dia menipu demi perempuan itu. Keesokkannya, hari yang sepatutnya kami berjumpa, aku tidak ke tempat yang dijanjikan. Aku bersama rakan-rakan yang lain ditempat lain. Mesej aku langsung tak dilayan. Setibanya aku dirumah lebih kurang jam 7 malam, aku menghantar satu lagi mesej kepadanya dan dia hanya membalas,"kita mesej nanti boleh tak? Malam sikit ke, esok ke". Sekali lagi aku hampa. Lebih kurang pukul 9 malam, aku hantar satu lirik lagu, kalau tak silap lagu 'Dua Hati Jadi Satu'. Dia balas. Katanya, dia mahu hubungan kami sampai disitu sahaja. Dan menyatakan bahawa dia punya yang lain.
Kesedihan aku saat itu hanya Tuhan yang tahu. Tiga hari aku berkurung dalam bilik, tak makan, tak minum. Sehinggalah aku menerima mesej daripadanya bertanyakan khabarku. Aku berasa sedikit lega dengan mesejnya yang seperti masih mengambil berat tentang diriku. Aku mula pulih sedikit demi sedkit walaupun payah. Dari hari ke hari dia semakin menghilang dari hidupku. Dia seolah membenciku. Apa salahku padanya? Selang beberapa bulan, dia kembali menghubungiku. Aku keliru. Rasa sakit yang semakin menghilang seperti datang kembali. Namun, jauh disudut hati aku gembira dengan kehadirannya. Setelah beberapa minggu, dia kembali menghilang seperti sebelum ini. Sekali lagi hatiku terguris dek perbuatannya. Aku mula tidak faham dengan permainannya. Apa yang dia mahukan dengan mencari aku semula dan pergi bila saja dia suka? Aku ni apa? Hmm..
Masa berlalu begitu pantas, SPM semakin hampir. Dua minggu sebelum menduduki SPM, dia kembali lagi. Dia memohon maaf atas segala salah dan silap yang pernah dia lakukan keatas diriku. Dia menyatakan bahawa dia ingin berkawan denganku. Aku terima dengan hati yang ikhlas. Selesai SPM, aku terpilih untuk menyertai PLKN. Minggu kedua aku disana, aku cuba menghantar mesej kepadanya dan dia balas. Aku senang begitu. Teman tapi Mesra! Walaupun jauh disudut hati ini, masih ada rindu, masih ada cinta untuknya. Aku ketepikan semua rasa yang ada demi persahabatan kami. Selesai PLKN, kami bercadang untuk berjumpa tapi entah lah bila. Satu hari, April 2010, semasa aku dalam perjalanan menuju ke pasaraya yang menjadi saksi pertemuan kami kali pertama dulu bersama seseorang yang aku gelar 'sahabat' dari dulu, kini dan selamanya. Aku teringat untuk mengajak 'si dia' bersama. Pada mulanya dia seperti menolak. Namun setelah dipujuk, dia bersetuju. Itulah kali pertama kami berjumpa. Kami menonton wayang bersama. Dia bakal melanjutkan pelajaran tidak lama lagi ke salah sebuah Universiti di Pulau Pinang. Entah bila lagi aku akan bertemunya. Mungkinkah kami bertemu lagi?
Dia menyepi lagi setelah masuk ke Universiti. Aku fikir kali ini dia mungkin sudah benar-benar melupakanku. Aku mengambil keputusan untuk tidak memikirkan tentangnya lagi. Tak sanggup lagi rasanya untuk menanggung sakitnya apabila dia tinggalkan aku tanpa kata. Baru-baru ini, semasa 'study week', dia pulang. Tanpa diduga dia telah menghubungi aku dan menginginkan kami bertemu keesokkan harinya kerana lusa dia perlu pulang semula ke kolej. Aku seperti tidak percaya dengan keinginannya itu. Apakah maksudnya ingin bertemu denganku dengan layanan seperti 'couple' dan bukannya kawan? Aku menurut kehendaknya. Keesokkan harinya, 19 Oktober 2010, aku bertemu dengannya disebuah tempat yang dia sendiri gelar 'tempat couple'. Dimana? Adalah..haha. Aku hanya membiarkan dia dengan caranya melayanku. Memang tidak terasa seperti kawan. Setelah hampir 2 jam kami disitu, kami pun pulang ke rumah memandangkan petang semakin lewat. Yang jelas, aku bahagia disampingnya. Kami terus berhubung sehinggalah dia tamat 'final exam' dan kembali ke rumahnya. Pada awal kepulangannya, dia okey. Dia melayanku seperti biasa. Dua minggu selepas itu dia mula berlaku dingin denganku. Satu hari dia bertanya,"U anggap I apa?". Dan menyatakan bahawa dia cuma menganggap aku sebagai kawan. Sedikit kekecewaan kurasakan disitu, dengan layanan yang dia berikan selama ini, hmm aku terima seadanya asalkan aku tidak kehilangan dia selamanya. Aku masih sayang dia. Sekurang-kurangnya persahabatan itu tiada penghujungnya dan aku takkan kehilangan dia.
Kali ini dia pergi lagi dari hidupku. Sepi lagi tanpa berita. Aku rindu. Tapi apa yang mampu aku lakukan cuma mendoakan yang terbaik untuknya. Kadang-kadang rasa rindu ni seolah memaksa aku untuk menghubunginya. Tapi setelah berfikir untuk beberapa ketika, aku takut. Takut untuk dikecewakan oleh reaksinya nanti. Aku kuburkan saja hasrat itu dan selalunya aku hanya luahkan dengan airmata. Aku masih mengambil tahu tentangnya. Biarpun dari jauh dan tanpa pengetahuannya, aku redha dengan takdir ini. Sampai bila dia akan menyepi kali ini? Apakah dia akan kembali lagi seperti sebelumnya? Allah saja yang tahu. Cinta tak semestinya memiliki. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku.